SEJARAH


Sebelum kedatangan orang-orang Jepun, penduduk di Kampung Tasek menghantar anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tembok iaitu kira-kira 5km dari Kampong Tasek. Semasa pemerintahan Jepun,sebahagian daripada kanak-kanak di Kampung Tasek tidak bersekolah kerana kemelesetan. Selepas perang iaitu kira-kira dalam tahun 1945, pengganas komunis mengancam keselamatan penduduk di Kampung Tasek, menyebabkan sebahagian besar daripada anak-anak kampung ini tidak bersekolah.

Dalam pada itu penduduk Kampung Tasek telah berusaha mendapatkan sekolah untuk anak-anak mereka. Rayuan penduduk Kampung Tasek telah mendapat perhatian kerajaan. Pada masa yang sama seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat, Puan Hajah Mariam binti Sulaiman telah berusaha mendapatkan sekolah untuk kanak-kanak Kampung Tasek.Akhirnya pihak kerajaan telah memberikan kebenaran agar sebuah sekolah diwujudkan di Kampung Tasek. Pihak kereta api tanah Melayu telah membenarkan Stesen Kereta api Tasek dijadikan sekolah dengan sewaan RM10.00. Dengan ini mulai 13 Ogos 1949 anak-anak penduduk Kampung Tasek telah bersekolah di sekolah yang dinamakan Sekolah Melayu Tasek dengan bilangan muridnya seramai 32 orang. Persekolahan di Stesen Kereta Api Tasek ini berjalan kira-kira 23 tahun. Oleh kerana muridnya bertambah khasnya selepas merdeka, maka bangunan kereta api tersebut tidak lagi sesuai dan tidak boleh menampung bilangan murid di samping gangguan serta membahayakan keselamatan murid.

SEKOLAH BARU
Lagi sekali penduduk Kampung Tasek telah merayu kepada pihak kerajaan bagi mendapatkan bangunan baru untuk Sekolah Kebangsaan Tasek. Dengan usaha penduduk-penduduk Kampung Tasek dan setelah mendapat tanah untuk tapak sekolah, akhirnya kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan untuk Sekolah Kebangsaan Tasek di tapak yang ada sekarang. Bangunan baru telah mula digunakan pada 16 Julai 1972 dan dirasmikan oleh YAB Datuk Hussein Onn selaku Menteri Pelajaran Malaysia pada hari Jumaat 6 Julai 1973.

Comments

Popular Posts